Memaparkan catatan dengan label Hukum Qalqalah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Hukum Qalqalah. Papar semua catatan

Jumaat, 2 Januari 2009

Bacaan Qalqalah Bersabdu

Assalamualaikum pembaca sekelian,

Bagaimana dengan kualiti ilmu dan amal anda di dalam tahun baru ini? Moga-moga semakin meningkat hendaknya. Ingatlah bahawa ilmu tanpa amal itu sia-sia dan amal tanpa ilmu itu gila.

Kembali pada pelajaran kita yang lepas. Kita sekarang berada dalam pelajaran tentang hukum qalqalah. Dapatkah anda mengikuti pelajaran yang lepas? Sekiranya terdapat sebarang kemusykilan, silakan bertanya kepada saya.

Pada pelajaran kali ini saya akan mengajar anda bagaimana untuk mewaqafkan bacaan pada huruf qalqalah yang bertanda sabdu atau syaddah. Nama untuk qalqalah ini ialah qalqalah Akbar (اكبر ). Di dalam setengah kitab mereka meletakkan bacaan ini di dalam hukum qalqalah Kubra.

Sebelum saya menerangkan dengan lebih lanjut, sila sertakan bersama anda terjemahan al-Quran Rasm uthmani. Sila lihat pada surah al-Masad ayat pertama. Ayatnya ditulis begini:

تبت يدا أبي لهب وتب
Cuba anda perhatikan pada kalimah وتب. Huruf terakhir ialah huruf ب dan ianya mesti dibaca dengan sukun kerana berhenti bacaan padanya. Maka jadilah hukum bacaannya qalqalah Kubra (كبرى) kerana huruf qalqalah dibaca sukun mendatang.
Cuma bezanya kali ini ialah huruf tersebut mengandungi tanda sabdu atau syaddah. Bagaimanakah cara untuk membacanya? Caranya ialah anda mesti menekankan makhraj huruf ب iaitu dua bibir dirapatkan secara ringan. Ini kerana huruf tersebut mengandungi tanda sabdu. Kemudian baru didatangkan bunyi qalqalahnya dengan kuat seolah-olah berbaris atas kerana ianya sukun mendatang.
Dapatkah anda memahami penjelasan saya untuk pelajaran kali ini? Anda boleh bertanya kepada saya sekiranya terdapat sebarang kemusykilan. Kita akan berjumpa lagi pada pelajaran akan datang.
Pada pelajaran akan datang insyaAllah saya akan menerangkan pula bagaimana untuk mencari makhraj huruf menggunakan satu kaedah yang mudah dan praktikal. Jadi pastikan anda sentiasa berkunjung ke blog ini. Atau daftarkan emel saya supaya segala tulisan terbaru saya akan terus ke kotak emel anda.

Ahad, 28 Disember 2008

Mengenali Sukun Mendatang

Assalamualaikum pembaca sekelian,

Apa khabar anda hari ini? Diharapkan anda sihat hendaknya. Saya alhamdulillah sihat. Semoga kita semua diberi kesihatan untuk terus menuntut ilmu dan dapat beramal dengan ilmu tersebut.

Sebagaimana yang telah dimaklumi semua, insyaAllah pada tulisan kali ini saya akan memberikan penjelasan yang lebih lanjut tentang apa yang dimaksudkan dengan sukun mendatang. Sebenarnya sukun mendatang ini mempunyai babnya yang tersendiri. Ia mempunyai perbahasan yang lebih terperinci dalam bab Mad Aridh Lisukun مد عارض للسكون, iaitu Mad Mendatang Kerana Sukun.

Jadi untuk penerangan ini saya hanya akan menerangkan tentang sukun mendatang pada huruf-huruf qalqalah yang mana menjadi tanda untuk qalqalah kubra (كبرى ). Untuk lebih jelas penerangan saya, saya cadangkan anda bawa bersama terjemahan al-Quran Rasm Uthmani.

Bagi anda yang masih belum mambaca tulisan saya tentang hukum qalqalah, sila baca dengan mengklik di sini. Secara mudahnya, sukun mendatang ialah sukun yang dibaca pada huruf terakhir ketika mewaqafkan bacaan. Dan inilah yang menjadi tanda bagi qalqalah kubra (كبرى ).

Sebagai contoh, anda boleh lihat di dalam surah al-Ikhlas, ayat yang pertama. Ayat tersebut ditulis seperti di bawah:

" قل هو ألله أحد "
Cuba anda perhatikan pada perkataan أحد . Huruf د merupakan huruf terakhir dan berbaris dua dihadapan. Bunyinya ahadun. Apabila mewaqafkan bacaan pada perkataan أحد ,huruf د yang pada asalnya berbaris dua dihadapan telah dibaca dengan tanda sukun, bunyinya ahad. Inilah yang dimaksudkan dengan sukun mendatang. Jadi, pada ayat tersebut mesti dibaca dengan hukum qalqalah kubra (كبرى), di mana bunyi lantunannya lebih kuat seolah-olah berbaris di atas.
Bagaimana? Diharapkan anda dapat memahami penjelasan saya tentang sukun mendatang ini. Sekiranya anda masih keliru, jangan malu-malu untuk bertanya. InsyaAllah saya akan jawab persoalan anda tersebut.
Jadi insyaAllah kita akan berjumpa lagi pada tulisan yang akan datang. Bagi anda yang beru mengunjungi blog ini, daftarkan emel anda supaya tidak akan terlepas tulisan-tulisan terkini saya.

Khamis, 25 Disember 2008

Hukum Bacaan Qalqalah

Assalamualaikum pembaca sekelian,

Di harapkan anda semua sihat disamping keluarga tersayang.

Baik, untuk tulisan kali ini, saya akan mengajar anda tentang hukum bacaan qalqalah. Bagaimana cara bacaan qalqalah yang betul.Apakah yang dimaksudkan dengan qalqalah itu?

Qalqalah ialah suatu bunyi melantun kuat ketika menyebut huruf mati. Tetapi bukan semua huruf hijaiyah boleh dibaca dengan qalqalah. Qalqalah hanya mengandungi lima huruf sahaja. Huruf-huruf qalqalah ialah ق ط ب ج د .Untuk memudahkan mengingati huruf-huruf qalqalah tersebut, ia telah disusun di dalam rangkaikata berikut قطبجد . Bunyinya qutbujaddin.

Qalqalah terbahagi kepada 2 bahagian, iaitu:

1. Qalqalah sughra ( صغرى )
2. Qalqalah kubra ( كبرى )

Kedua-dua jenis qalqalah tersebut mempunyai cara bacaan yang agak berbeza dan mempunyai tanda-tanda tertentu untuk mengenalinya.

Untuk mengenali qalqalah sughra ialah huruf-huruf qalqalah tersebut mempunyai tanda sukun/mati sedia ada. Bunyi lantunan untuk qalqalah ini juga lebih perlahan jika dibandingkan dengan qalqalah kubra. Untuk mengenali qalqalah kubra pula ialah huruf-huruf qalqalah tadi dibaca dengan sukun mendatang. Dan untuk qalqalah kubra pula, huruf-huruf qalqalah tadi mesti dibunyikan dengan kuat lantunannya. Bunyi kuat itu seolah-olah huruf qalqalah berbaris di atas.

Saya rasa mungkin anda agak keliru tentang perbezaan diantara sukun sedia ada dan sukun mendatang. Hal ini mungkin akan berlaku kepada anda yang tidak mempunyai asas tentang ilmu tajwid.

Tapi jangan bimbang, insyaAllah saya akan menerangkannya pada tulisan yang akan datang. Yang penting, anda fahamkan dulu tulisan saya yang ini. Sekiranya ada kekeliruan pada tulisan ini, jangan malu-malu untuk bertanya kepada saya melalui ruang komen di bawah.

Jadi berjumpa lagi kita pada tulisan yang akan datang. Untuk tidak ketinggalan tulisan-tulisan terkini saya, jangan lupa daftarkan emel anda supaya tulisan terkini akan terus ke inbox anda.

Sekian, wassalam