Bagaimana dengan kualiti ilmu dan amal anda di dalam tahun baru ini? Moga-moga semakin meningkat hendaknya. Ingatlah bahawa ilmu tanpa amal itu sia-sia dan amal tanpa ilmu itu gila.
Kembali pada pelajaran kita yang lepas. Kita sekarang berada dalam pelajaran tentang hukum qalqalah. Dapatkah anda mengikuti pelajaran yang lepas? Sekiranya terdapat sebarang kemusykilan, silakan bertanya kepada saya.
Pada pelajaran kali ini saya akan mengajar anda bagaimana untuk mewaqafkan bacaan pada huruf qalqalah yang bertanda sabdu atau syaddah. Nama untuk qalqalah ini ialah qalqalah Akbar (اكبر ). Di dalam setengah kitab mereka meletakkan bacaan ini di dalam hukum qalqalah Kubra.
Sebelum saya menerangkan dengan lebih lanjut, sila sertakan bersama anda terjemahan al-Quran Rasm uthmani. Sila lihat pada surah al-Masad ayat pertama. Ayatnya ditulis begini:
تبت يدا أبي لهب وتب
Cuba anda perhatikan pada kalimah وتب. Huruf terakhir ialah huruf ب dan ianya mesti dibaca dengan sukun kerana berhenti bacaan padanya. Maka jadilah hukum bacaannya qalqalah Kubra (كبرى) kerana huruf qalqalah dibaca sukun mendatang.
Cuma bezanya kali ini ialah huruf tersebut mengandungi tanda sabdu atau syaddah. Bagaimanakah cara untuk membacanya? Caranya ialah anda mesti menekankan makhraj huruf ب iaitu dua bibir dirapatkan secara ringan. Ini kerana huruf tersebut mengandungi tanda sabdu. Kemudian baru didatangkan bunyi qalqalahnya dengan kuat seolah-olah berbaris atas kerana ianya sukun mendatang.
Dapatkah anda memahami penjelasan saya untuk pelajaran kali ini? Anda boleh bertanya kepada saya sekiranya terdapat sebarang kemusykilan. Kita akan berjumpa lagi pada pelajaran akan datang.
Pada pelajaran akan datang insyaAllah saya akan menerangkan pula bagaimana untuk mencari makhraj huruf menggunakan satu kaedah yang mudah dan praktikal. Jadi pastikan anda sentiasa berkunjung ke blog ini. Atau daftarkan emel saya supaya segala tulisan terbaru saya akan terus ke kotak emel anda.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan