Ahad, 28 Disember 2008

Selamat Tahun Baru Hijrah 1430

Salam pembaca sekelian,

Emmm...sedar tak sedar sekarang ni kita telah pun berada dalam tahun baru hijrah. 1430? Ini bermakna 1430 tahun kita telah berpisah dengan Nabi Junjungan kita Muhammad s.a.w.

Marilah kita muhasabah kembali diri kita selama setahun ini. Bagaimana dengan amal soleh yang telah kita lakukan? Sebanyak mana ilmu agama yang telah kita cedok dari para alim ulama kita. Kita perbaiki segala kelemahan dan kekurangan yang telah kita lakukan. Kita mohon kepada Allah agar pada tahun baru ini, kita dipandu oleh Allah ke jalan yang Dia redhai.Amin...

Bersempena dengan tahun baru ni, saya sertakan doa akhir dan awal tahun. Moga dapat beramal dengannya. Disamping itu, saya sertakan juga beberapa tulisan yang berkaitan dengannya.


Doa Awal Tahun



Doa Akhir Tahun


Antara amalan sunat di dalam bulan Muharram

1. Berpuasa.

Maksud Hadis: Barang siapa berpuasa satu hari dalam bulan Muharam pahalanya seumpama berpuasa 30 tahun.

Maksud Hadis: Barang siapa yang berpuasa tiga hari dalam bulan Muharam, iaitu hari Khamis, Jumaat dan Sabtu, Allah tulis padanya pahala seperti mana beribadat selama 2 tahun.

2. Banyakkan amal ibadat seperti solat sunat, zikir dan sebagainya.

3. Berdoa akhir tahun pada hari terakhir bulan Zulhijah selepas Asar sebanyak 3 kali

4. Berdoa awal tahun pada 1 Muharram selepas Maghrib 3 kali

Empat belas perkara sunat dilakukan pada hari Asyura (10 Muharram):

1. Melapangkan masa/belanja anak isteri. Fadilatnya - Allah akan melapangkan hidupnya pada tahun ini.

2. Memuliakan fakir miskin. Fadilatnya - Allah akan melapangkannya dalam kubur nanti.

3. Menahan marah. Fadilatnya - Di akhirat nanti Allah akan memasukkannya ke dalam golongan yang redha.

4. Menunjukkan orang sesat. Fadilatnya - Allah akan memenuhkan cahaya iman dalam hatinya.

5. Menyapu/mengusap kepala anak yatim. Fadilatnya - Allah akan mengurniakan sepohon pokok di syurga bagi tiap-tiap rambut yang disapunya.

6. Bersedekah. Fadilatnya - Allah akan menjauhkannya daripada neraka sekadar jauh seekor gagak terbang tak berhenti-henti dari kecil sehingga ia mati. Diberi pahala seperti bersedekah kepada semua fakir miskin di dunia ini.

7. Memelihara kehormatan diri. Fadilatnya - Allah akan mengurniakan hidupnya sentiasa diterangi cahaya keimanan.

8. Mandi Sunat. Fadilatnya - Tidak sakit (sakit berat) pada tahun itu. Lafaz niat: “Sahaja aku mandi sunat hari Asyura kerana Allah Taala.”

9. Bercelak. Fadilatnya - Tidak akan sakit mata pada tahun itu.

10. Membaca Qulhuwallah hingga akhir 1,000 kali. Fadilatnya - Allah akan memandanginya dengan pandangan rahmah di akhirat nanti.

11. Sembahyang sunat empat rakaat. Fadilatnya - Allah akan mengampunkan dosanya walau telah berlarutan selama 50 tahun melakukannya. Lafaz niat: “Sahaja aku sembahyang sunat hari Asyura empat rakaat kerana Allah Taala.” Pada rakaat pertama dan kedua selepas Fatihah dibaca Qulhuwallah 11 kali.

12. Menjamu orang berbuka puasa. Fadhilat - Diberi pahala seperti memberi sekalian orang Islam berbuka puasa.

13. Puasa. Niat - “Sahaja aku berpuasa esok hari sunat hari Asyura kerana Allah Taala.” Fadilat - Diberi pahala seribu kali Haji, seribu kali umrah dan seribu kali syahid dan diharamkannya daripada neraka.

Peristiwa Penting


1. 1 Muharam - Khalifah Umar Al-Khattab menetapkan adalah hari pertama bagi setiap tahun baru Islam (Kalendar Hijriah).

2. 10 Muharam - Dinamakan juga hari ‘Asyura’. Pada hari itu banyak terjadi peristiwa penting yang mencerminkan kegemilangan bagi perjuangan yang gigih dan tabah bagi menegakkan keadilah dan kebenaran.

Pada 10 Muharam juga telah berlaku:

1. Nabi Adam bertaubat kepada Allah.
2. Nabi Idris diangkat oleh Allah ke langit.
3. Nabi Nuh diselamatkan Allah keluar dari perahunya sesudah bumi ditenggelamkan selama enam bulan.
4. Nabi Ibrahim diselamatkan Allah dari pembakaran Raja Namrud.
5. Allah menurunkan kitab Taurat kepada Nabi Musa.
6. Nabi Yusuf dibebaskan dari penjara.
7. Penglihatan Nabi Yaakob yang kabur dipulihkkan Allah.
8. Nabi Ayub dipulihkan Allah dari penyakit kulit yang dideritainya.
9. Nabi Yunus selamat keluar dari perut ikan paus setelah berada di dalamnya selama 40 hari 40 malam.
10. Laut Merah terbelah dua untuk menyelamatkan Nabi Musa dan pengikutnya dari tentera Firaun.
11. Kesalahan Nabi Daud diampuni Allah.
12. Nabi Sulaiman dikurniakan Allah kerajaan yang besar.
13. Hari pertama Allah menciptakan alam.
14. Hari Pertama Allah menurunkan rahmat.
15. Hari pertama Allah menurunkan hujan.
16. Allah menjadikan ‘Arasy.
17. Allah menjadikan Luh Mahfuz.
18. Allah menjadikan alam.
19. Allah menjadikan Malaikat Jibril.
20. Nabi Isa diangkat ke langit.

Kredit untuk: http://www.kedaisiber.com/diari/

Banyakkan perkara-perkara sunat yang boleh diamalkan di dalam bulan Muharram. Mudah-mudahan Allah berikan kita kekuatan untuk beramal. Anda dah daftarke emel di blog ni? Kalau belum pastikan anda mendaftar yer. Wassalam.

Mengenali Sukun Mendatang

Assalamualaikum pembaca sekelian,

Apa khabar anda hari ini? Diharapkan anda sihat hendaknya. Saya alhamdulillah sihat. Semoga kita semua diberi kesihatan untuk terus menuntut ilmu dan dapat beramal dengan ilmu tersebut.

Sebagaimana yang telah dimaklumi semua, insyaAllah pada tulisan kali ini saya akan memberikan penjelasan yang lebih lanjut tentang apa yang dimaksudkan dengan sukun mendatang. Sebenarnya sukun mendatang ini mempunyai babnya yang tersendiri. Ia mempunyai perbahasan yang lebih terperinci dalam bab Mad Aridh Lisukun مد عارض للسكون, iaitu Mad Mendatang Kerana Sukun.

Jadi untuk penerangan ini saya hanya akan menerangkan tentang sukun mendatang pada huruf-huruf qalqalah yang mana menjadi tanda untuk qalqalah kubra (كبرى ). Untuk lebih jelas penerangan saya, saya cadangkan anda bawa bersama terjemahan al-Quran Rasm Uthmani.

Bagi anda yang masih belum mambaca tulisan saya tentang hukum qalqalah, sila baca dengan mengklik di sini. Secara mudahnya, sukun mendatang ialah sukun yang dibaca pada huruf terakhir ketika mewaqafkan bacaan. Dan inilah yang menjadi tanda bagi qalqalah kubra (كبرى ).

Sebagai contoh, anda boleh lihat di dalam surah al-Ikhlas, ayat yang pertama. Ayat tersebut ditulis seperti di bawah:

" قل هو ألله أحد "
Cuba anda perhatikan pada perkataan أحد . Huruf د merupakan huruf terakhir dan berbaris dua dihadapan. Bunyinya ahadun. Apabila mewaqafkan bacaan pada perkataan أحد ,huruf د yang pada asalnya berbaris dua dihadapan telah dibaca dengan tanda sukun, bunyinya ahad. Inilah yang dimaksudkan dengan sukun mendatang. Jadi, pada ayat tersebut mesti dibaca dengan hukum qalqalah kubra (كبرى), di mana bunyi lantunannya lebih kuat seolah-olah berbaris di atas.
Bagaimana? Diharapkan anda dapat memahami penjelasan saya tentang sukun mendatang ini. Sekiranya anda masih keliru, jangan malu-malu untuk bertanya. InsyaAllah saya akan jawab persoalan anda tersebut.
Jadi insyaAllah kita akan berjumpa lagi pada tulisan yang akan datang. Bagi anda yang beru mengunjungi blog ini, daftarkan emel anda supaya tidak akan terlepas tulisan-tulisan terkini saya.

Khamis, 25 Disember 2008

Hukum Bacaan Qalqalah

Assalamualaikum pembaca sekelian,

Di harapkan anda semua sihat disamping keluarga tersayang.

Baik, untuk tulisan kali ini, saya akan mengajar anda tentang hukum bacaan qalqalah. Bagaimana cara bacaan qalqalah yang betul.Apakah yang dimaksudkan dengan qalqalah itu?

Qalqalah ialah suatu bunyi melantun kuat ketika menyebut huruf mati. Tetapi bukan semua huruf hijaiyah boleh dibaca dengan qalqalah. Qalqalah hanya mengandungi lima huruf sahaja. Huruf-huruf qalqalah ialah ق ط ب ج د .Untuk memudahkan mengingati huruf-huruf qalqalah tersebut, ia telah disusun di dalam rangkaikata berikut قطبجد . Bunyinya qutbujaddin.

Qalqalah terbahagi kepada 2 bahagian, iaitu:

1. Qalqalah sughra ( صغرى )
2. Qalqalah kubra ( كبرى )

Kedua-dua jenis qalqalah tersebut mempunyai cara bacaan yang agak berbeza dan mempunyai tanda-tanda tertentu untuk mengenalinya.

Untuk mengenali qalqalah sughra ialah huruf-huruf qalqalah tersebut mempunyai tanda sukun/mati sedia ada. Bunyi lantunan untuk qalqalah ini juga lebih perlahan jika dibandingkan dengan qalqalah kubra. Untuk mengenali qalqalah kubra pula ialah huruf-huruf qalqalah tadi dibaca dengan sukun mendatang. Dan untuk qalqalah kubra pula, huruf-huruf qalqalah tadi mesti dibunyikan dengan kuat lantunannya. Bunyi kuat itu seolah-olah huruf qalqalah berbaris di atas.

Saya rasa mungkin anda agak keliru tentang perbezaan diantara sukun sedia ada dan sukun mendatang. Hal ini mungkin akan berlaku kepada anda yang tidak mempunyai asas tentang ilmu tajwid.

Tapi jangan bimbang, insyaAllah saya akan menerangkannya pada tulisan yang akan datang. Yang penting, anda fahamkan dulu tulisan saya yang ini. Sekiranya ada kekeliruan pada tulisan ini, jangan malu-malu untuk bertanya kepada saya melalui ruang komen di bawah.

Jadi berjumpa lagi kita pada tulisan yang akan datang. Untuk tidak ketinggalan tulisan-tulisan terkini saya, jangan lupa daftarkan emel anda supaya tulisan terkini akan terus ke inbox anda.

Sekian, wassalam

Selasa, 23 Disember 2008

10 Dasar Ilmu Tajwid

Assalamualaikum pembaca sekelian,

Selamat datang ke blog ini. Di blog ini insyaAllah saya akan menulis hal-hal yang berkaitan dengan ilmu tajwid.

Jadi untuk posting yang pertama ini saya akan memberitahu terlebih dahulu sepuluh perkara asas tentang ilmu tajwid. Ini kerana setiap ilmu mempunyai sepuluh asas yang menjadi dasar pemikiran.

Sepuluh perkara asas ilmu tajwid ialah:

1. Pengertian tajwid menurut bahasa ialah : Memperelokkan sesuatu. Menurut istilah ilmu tajwid : Melafazkan setiap huruf dari makhrajnya yang betul serta memenuhi hak-hak setiap huruf.

2. Hukum mempelajari ilmu tajwid ialah fardhu kifayah dan mengamalkannya yakni membaca al-Quran dengan tajwid ialah fardhu ain bagi setiap lelaki dan perempuan yang mukallaf.

3. Tumpuan perbincangannya ialah pada kalimah-kalimah al-Quran.

4. Kelebihannya : Ia adalah semulia-mulia ilmu kerana terus berkait dengan al-Quran sebagaimana hadis nbi yang bermaksud:

“Sebaik-baik dikalangan kamu ialah orang yang belajar al-Quran dan mengajarkannya” (Riwayat Bukhari)

5. Penyusunnya ialah imam-imam qiraat.

6. Faedahnya : Agar mencapai kejayaan dan keredhaan Allah di dunia dan akhirat, insyaAllah.

7. Dalilnya : dari al-Quran dan hadis nabi s.a.w.

8. Nama ilmu : Ilmu Tajwid.

9. Masalah yang diperbincangkan : Mengenai kaedah dn cara-cara bacaannya secara keseluruhanyang memberi pengertian hukum-hukum cabangan.

10. Matlamatnya : Memelihara lidah daripada kesalahan membaca ayat-ayat suci al-Quran pada ketika membacanya. Membaca sepertimana ketika penurunnya kepada Nabi kita Muhammad s.a.w.

Itulah dia sepuluh asas ilmu tajwid yang menjadi dasar perbahasan kita. Diharapkan anda selalu mengunjungi blog ini untuk belajar secara teori tentang hukum-hukum tajwid. anda juga digalakkan untuk melaggan tulisan terkini saya melalui emel. Dengan ini anda tidak akan ketinggalan segala tulisan saya.