Apa khabar anda hari ini? Diharapkan anda sihat hendaknya. Saya alhamdulillah sihat. Semoga kita semua diberi kesihatan untuk terus menuntut ilmu dan dapat beramal dengan ilmu tersebut.
Sebagaimana yang telah dimaklumi semua, insyaAllah pada tulisan kali ini saya akan memberikan penjelasan yang lebih lanjut tentang apa yang dimaksudkan dengan sukun mendatang. Sebenarnya sukun mendatang ini mempunyai babnya yang tersendiri. Ia mempunyai perbahasan yang lebih terperinci dalam bab Mad Aridh Lisukun مد عارض للسكون, iaitu Mad Mendatang Kerana Sukun.
Jadi untuk penerangan ini saya hanya akan menerangkan tentang sukun mendatang pada huruf-huruf qalqalah yang mana menjadi tanda untuk qalqalah kubra (كبرى ). Untuk lebih jelas penerangan saya, saya cadangkan anda bawa bersama terjemahan al-Quran Rasm Uthmani.
Bagi anda yang masih belum mambaca tulisan saya tentang hukum qalqalah, sila baca dengan mengklik di sini. Secara mudahnya, sukun mendatang ialah sukun yang dibaca pada huruf terakhir ketika mewaqafkan bacaan. Dan inilah yang menjadi tanda bagi qalqalah kubra (كبرى ).
Sebagai contoh, anda boleh lihat di dalam surah al-Ikhlas, ayat yang pertama. Ayat tersebut ditulis seperti di bawah:
" قل هو ألله أحد "
Cuba anda perhatikan pada perkataan أحد . Huruf د merupakan huruf terakhir dan berbaris dua dihadapan. Bunyinya ahadun. Apabila mewaqafkan bacaan pada perkataan أحد ,huruf د yang pada asalnya berbaris dua dihadapan telah dibaca dengan tanda sukun, bunyinya ahad. Inilah yang dimaksudkan dengan sukun mendatang. Jadi, pada ayat tersebut mesti dibaca dengan hukum qalqalah kubra (كبرى), di mana bunyi lantunannya lebih kuat seolah-olah berbaris di atas.
Bagaimana? Diharapkan anda dapat memahami penjelasan saya tentang sukun mendatang ini. Sekiranya anda masih keliru, jangan malu-malu untuk bertanya. InsyaAllah saya akan jawab persoalan anda tersebut.
Jadi insyaAllah kita akan berjumpa lagi pada tulisan yang akan datang. Bagi anda yang beru mengunjungi blog ini, daftarkan emel anda supaya tidak akan terlepas tulisan-tulisan terkini saya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan