Rabu, 7 Januari 2009

Kelas Tahsin Al-Quran

Assalamualaikum pembaca sekelian,

Tahukah anda bagaimana cara pembelajaran al-Quran yang betul? Ya, caranya adalah dengan cara bertalaqqi di mana guru dan anak murid berhadapan. Pada mulanya, guru akan membaca dan akan didengar oleh murid yang belajar. Dan kemudian pelajar pula membaca dan akan didengar oleh guru. Apabila terdapat kesalahan bacaan, guru akan memperbetulkan bacaan tersebut. Murid juga dapat bertanya secara terus kepada guru sekiranya terdapat perkara yang mengelirukan.

Jadi, oleh sebab itu saya telah mewujudkan kelas al-Quran saya sendiri di mana kelas tersebut saya namakan kelas Tahsin al-Quran. Apakah maksud 'Tahsin'? Tahsin membawa maksud pembaikan yakni memperbaiki bacaan al-Quran agar kita membaca al-Quran mengikut hukum tajwid.

Jadi kepada anda yang berada di kawasan sekitar ipoh, bolehlah mengikuti kelas yang saya anjurkan. Untuk pengetahuan anda, kelas ini bukanlah untuk mengajar iqra' atau muqaddam, juga bukan untuk mengkhatamkan al-Quran, tetapi di kelas kita sama-sama akan belajar bagaimana membaca al-Quran dengan berlandaskan ilmu tajwid. Bagaimana bacaan nun sukun dan tanwin, bacaan mim sukun, bacaan nun dan mim bersyaddah, hukum bacaan ra' dan bermacam-macam lagi.

Jadi, siapa yang sesuai mengikuti kelas ini? Anda boleh mengikuti kelas ini sekiranya anda merupakan antara golongan di bawah:


  • Boleh membaca al-Quran, namun tidak mengetahui nama-nama hukum.
  • Masih keliru dengan cara-cara dengung bacaan
  • Sudah banyak kali khatam al-Quran, namun masih keliru tentang bacaan-bacaan mad.
  • Hanya mengikuti kelas al-Quran melalui radio dan merasakan ianya belum mencukupi untuk menambahkan kefahaman anda, dan...
  • Masih takut-takut untuk membaca al-Quran secara bersendirian kerana takut melakukan kesalahan dalam bacaan.

Tapi, sekiranya anda dari golongan di bawah, anda tidak sesuai mengikuti kelas ini.

  • Seorang qari atau qariah yang profesional
  • Seorang yang pakar di dalam ilmu tajwid
  • Seorang guru yang mengajar al-Quran
  • Seorang yang masih belajar iqra' dan
  • Seorang yang belum mengkhatamkan al-Quran

Tujuan saya mewujudkan kelas ini kerana saya melihat ramai pembaca al-Quran yang hanya sekadar membaca, tapi dari segi tajwid banyak melakukan kesalahan. Ini berlaku kerana mereka tidak belajar ilmu tajwid dan tidak belajar secara bertalaqqi.

Jadi saya amat mengesyorkan agar anda mengikuti kelas ini sekiranya ingin mengetahui dengan lebih mendalam tentang ilmu tajwid. Satu lagi yang menarik ialah saya akan mendedahkan beberapa kesalahan yang dilakukan oleh pembaca tanpa mereka sedari. Semua pengalaman ini saya dapat setelah saya mengajar al-Quran selama dua tahun.

Kelas ini akan dijalankan pada hari sabtu dan ahad setiap minggu. Saya akan menjalankan kelas dalam dua sesi. Sesi pertama untuk golongan wanita. Sesi ini akan bermula pada jam 9 hingga 11 pagi. Dan sesi kedua pula untuk golongan lelaki. Sesi ini pula akan bermula pada jam 2.30 petang hingga asar, insyaAllah. Pendaftaran hanya untuk 60 orang yang terawal, iaitu 30 wanita dan 30 lelaki. Bayaran yang dikenakan hanya RM30 sebulan.

Jadi, sekiranya anda berada disekitar ipoh dan ingin mengikuti kelas ini, sila hubungi saya di talian berikut untuk pendaftaran. Talian saya di 013-4479610 atau 014-2250529. InsyaAllah kelas akan bermula pada awal bulan februari dan tarikhnya akan saya maklumkan kemudian. Jadi, cepat daftarkan diri anda.

Jumaat, 2 Januari 2009

Bacaan Qalqalah Bersabdu

Assalamualaikum pembaca sekelian,

Bagaimana dengan kualiti ilmu dan amal anda di dalam tahun baru ini? Moga-moga semakin meningkat hendaknya. Ingatlah bahawa ilmu tanpa amal itu sia-sia dan amal tanpa ilmu itu gila.

Kembali pada pelajaran kita yang lepas. Kita sekarang berada dalam pelajaran tentang hukum qalqalah. Dapatkah anda mengikuti pelajaran yang lepas? Sekiranya terdapat sebarang kemusykilan, silakan bertanya kepada saya.

Pada pelajaran kali ini saya akan mengajar anda bagaimana untuk mewaqafkan bacaan pada huruf qalqalah yang bertanda sabdu atau syaddah. Nama untuk qalqalah ini ialah qalqalah Akbar (اكبر ). Di dalam setengah kitab mereka meletakkan bacaan ini di dalam hukum qalqalah Kubra.

Sebelum saya menerangkan dengan lebih lanjut, sila sertakan bersama anda terjemahan al-Quran Rasm uthmani. Sila lihat pada surah al-Masad ayat pertama. Ayatnya ditulis begini:

تبت يدا أبي لهب وتب
Cuba anda perhatikan pada kalimah وتب. Huruf terakhir ialah huruf ب dan ianya mesti dibaca dengan sukun kerana berhenti bacaan padanya. Maka jadilah hukum bacaannya qalqalah Kubra (كبرى) kerana huruf qalqalah dibaca sukun mendatang.
Cuma bezanya kali ini ialah huruf tersebut mengandungi tanda sabdu atau syaddah. Bagaimanakah cara untuk membacanya? Caranya ialah anda mesti menekankan makhraj huruf ب iaitu dua bibir dirapatkan secara ringan. Ini kerana huruf tersebut mengandungi tanda sabdu. Kemudian baru didatangkan bunyi qalqalahnya dengan kuat seolah-olah berbaris atas kerana ianya sukun mendatang.
Dapatkah anda memahami penjelasan saya untuk pelajaran kali ini? Anda boleh bertanya kepada saya sekiranya terdapat sebarang kemusykilan. Kita akan berjumpa lagi pada pelajaran akan datang.
Pada pelajaran akan datang insyaAllah saya akan menerangkan pula bagaimana untuk mencari makhraj huruf menggunakan satu kaedah yang mudah dan praktikal. Jadi pastikan anda sentiasa berkunjung ke blog ini. Atau daftarkan emel saya supaya segala tulisan terbaru saya akan terus ke kotak emel anda.